Bersyukur tahun ini dapat cuti panjang sedikit semasa Ramadhan dan Syawal. Kalau dihitung, saya hanya bekerja selama empat belas hari sahaja pada bulan August. Patutlah terasa sangat tidak cukup masa.
Saya cuba mengubah persepsi saya tentang meraikan Syawal. Saya mahu ia sederhana tetapi bermakna. Saya mahu meraikan Syawal dengan ziarah dan bermaafan. Maaf yang punya makna dan bukan setakat bersalaman. Tidak mahu hanya habiskan masa terluang dengan duduk dirumah dan menonton tv.
Pada hari
terakhir berpuasa, kami telah bertolak ke kampung arwah nenek untuk
bacaan tahlil dan iftar bersama pakcik dan makcik. Semua adik beradik
emak ada berkumpul. Saya tidak boleh ingat, bila kali terakhir kami
semua berkumpul. Saya melihat beria-ia sungguh pakcik dan makcik saya bersalaman bermaafan dengan emak. Terasa sayu melihatnya.
Hari raya pertama, kedua dan ketiga penuh dengan aktiviti ziarah-menziarahi. Kami sempat menziarahi semua rumah saudara-mara dikampung. Rumah emak juga penuh sesak dengan sedara-mara. Saya merasakan saya tidak henti-henti memasak. Mengemas dari pagi sampai malam. Penat. Tetapi saya bersyukur kerana tahun ini ramai yang menziarahi kami. Tercapailah hajat saya utk meraikan Syawal (walaupun tanpa baju baru :))
Kami rindukan
rendang arwah nenek KL. Tak rasa raya kalau tak ada rendang nenek. Atas
permintaan abang, kakak, adik dan diri sendiri, saya masak juga rendang resepi turun temurun sebelum pulang ke KL. Nasib baik nenek dah turunkan pada emak dan saya. Dapatlah kami semua merasa.
Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin. Semoga Syawal anda bermakna juga. Esok mahu massage. Sakit badan ni.
No comments:
Post a Comment